Seremban: Kementerian Kerja Raya (KKR) meluluskan peruntukan segera sebanyak RM500,000 bagi membaik pulih jalan di Kampung Batu 3 Mambau dekat sini, yang runtuh dalam kejadian hujan lebat, Sabtu lalu.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata projek membaik pulih laluan berkenaan akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan.
“Kementerian melalui JPS meluluskan RM500,000 menerusi Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) Negeri Sembilan bagi membaik pulih jalan yang terhakis dan runtuh di Kampung Batu 3 Mambau.
“Projek membaik pulih jalan itu perlu diselesaikan secepat mungkin supaya ia dapat memudahkan rakyat terutama penduduk kampung berkenaan.
“Insya-Allah, dalam masa sebulan projek membaik pulih jalan ini akan siap,” katanya selepas turun padang melawat lokasi jalan yang runtuh, di sini, petang ini.
Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Gantian 12 Bilik Darjah dan Lain-Lain Kemudahan di Sekolah Kebangsaan Sendayan, di sini.
Turut hadir, Exco Pendidikan negeri, Datuk Ismail Lasim, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Dr Roslan Hussin dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan, Wan Hasnan Wan Musa.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam Sabtu lalu, runtuhan di jalan terbabit mengakibatkan kira-kira 300 penduduk Kampung Sri Mantau, Mambau berdepan kesukaran untuk berulang alik berikutan jalan terbabit runtuh akibat hujan lebat.
Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batu 3 Mambau, Adam Hussin dilapor berkata, runtuhan di sepanjang kira-kira 20 meter memaksa jalan berkenaan ditutup bagi laluan kerana berisiko.