SEREMBAN: Penduduk di Negeri Sembilan khususnya yang berada di 120 lokasi hotspot berlakunya kejadian banjir di negeri ini diminta untuk sentiasa bersedia dan peka dengan keadaan hujan semasa permulaan Monsun Timur Laut ketika ini.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan, Ir. Saari Abdullah berkata, meskipun situasi banjir di negeri ini masih lagi terkawal, langkah berjaga-jaga masih perlu diambil penduduk termasuklah peka dengan bunyi siren amaran banjir.
“Saya minta penduduk untuk peka dengan keadaan hujan, peningkatan aras air sungai, bunyi siren amaran banjir yang kini telah dipasang di 27 stesen di seluruh negeri ini, mereka juga boleh merujuk kepada laman web JPS untuk mengetahui perkembangan semasa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Sementara itu, beliau memberitahu, kerja-kerja penyelenggaraan sungai yang dijalankan pihaknya termasuk projek mendalamkan beberapa batang sungai menerusi kerjasama timbal balik dengan pihak swasta dilihat kini memberikan kesan positif.
Jelasnya, ia apabila kurangnya berlaku kejadian banjir kilat khususnya di kawasan-kawasan yang sebelum ini kerap terjadi bencana berkenaan terutama di daerah ini.
“Alhamdulillah, kerja-kerja penyelenggaraan sungai yang sering dilaksanakan seperti membersihkan halangan-halangan dalam sungai serta projek mendalamkan sungai menerusi kerjasama timbal balik dengan pihak swasta telah menampakkan kesan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Saari memberitahu, kawasan di negeri ini tidak begitu terkesan dengan kejadian banjir seperti yang berlaku di beberapa kawasan di negeri jiran iaitu Selangor baru-baru ini
“Ada berlaku kejadian banjir seperti di pekan Nilai namun ia terkawal dan cepat curut berbanding di kawasan di negeri jiran,” katanya lagi.