logo mobile
MENU
  1. Home
  2. »
  3. Berita
  4. »
  5. Negeri Sembilan Belum Bincang Tentang Peruntukan ADUN

Negeri Sembilan Belum Bincang Tentang Peruntukan ADUN

SEREMBAN: Belum ada perbincangan dan keputusan dibuat mengenai peruntukan yang akan diberikan kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Negeri Sembilan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara tersebut termasuklah mengenai jumlah dan pemberian peruntukan kepada lima orang ADUN pembangkang di negeri ini.

“Mengenai peruntukan, ia masih belum dibincangkan, setuju ataupun tidak, kita akan bincangkan kerana ia untuk kebaikan.

“Perbincangan akan diadakan mengenai jumlah peruntukan itu termasuk sama ada terdapat keperluan untuk melantik penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Beliau yang juga ADUN Sikamat memberitahu, sebelum ini peruntukan tahunan kepada setiap ADUN adalah sebanyak RM400,000 termasuk kepada penyelaras DUN yang dilantik di kawasan DUN dimenangi pembangkang.

Selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu, telah menyaksikan gabungan kerjasama parti Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) telah berjaya membentuk kerajaan Negeri Sembilan dengan memenangi 31 buah kerusi daripada 36 buah kerusi yang dipertandingkan di negeri ini.

ADUN-ADUN terbabit telah mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah masing-masing di hadapan Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd. Rahman pada Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15 yang diadakan semalam.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Menteri Besar memberitahu, ketika ini terdapat lebih 100 siren amaran banjir telah dipasang pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di seluruh negeri ini dan kesemuanya berfungsi dengan baik.

“Saya telah diberikan taklimat tempoh hari bahawa terdapat lebih 100 siren amaran, kalau sebelum ini tidak sampai 30 sahaja, dan dimaklumkan semua siren amaran itu telah diuji dan berfungsi dengan baik,” tambahnya lagi.

Dalam perkembangan lain juga, Aminuddin menjelaskan, kerajaan negeri kini menunggu garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan unsur nadir bumi (REE) yang akan dikeluarkan oleh pihak Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sebelum mengambil langkah seterusnya khususnya mengenai perlombongan dan memproses mineral itu.