Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan akan mengambil langkah proaktif terhadap isu pencemaran air yang berlaku di negeri ini sehingga menjejaskan bekalan air penduduk di Selangor.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan sudah meminta agensi berkaitan mengambil tindakan.
“Ada sungai di Selangor yang bermula di Negeri Sembilan dan perkara yang selalu diberikan perhatian Menteri Besar Selangor adalah berkaitan isu pencemaran air.
“Saya sudah maklumkan perkara ini kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Badan Kawal Selia Air (BKSA) supaya memantau dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Perkara ini membabitkan kepentingan masyarakat dan penduduk di Selangor terutama di kawasan sempadan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Wisma Negeri di sini, hari ini.
Beberapa kejadian pencemaran air berlaku sebelum ini yang menjejaskan penduduk di kedua-dua negeri.
Pada Oktober 2020, kedua-dua Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi, Selangor dihenti tugas ekoran berlakunya pencemaran air mentah di Sungai Semenyih.
Pencemaran berkenaan dipercayai berpunca daripada aktiviti pembersihan ladang angsa di Sungai Pajam, Negeri Sembilan serta dari kawasan perindustrian Nilai 3.
Masalah itu turut menjadi punca kepada pencemaran di Sungai Batang Benar Nilai yang menjadi sumber air mentah kepada Sungai Semenyih.
Kedua-dua sungai yang terletak di sempadan negeri Selangor itu telah mengalami pencemaran bau sehingga menjejaskan kualiti air Sungai Semenyih.
Aminuddin berkata, dalam insiden terbaru pada 24 Disember lalu, berlaku tumpahan pati minyak wangi berpunca daripada kemalangan sebuah lori yang membawa muatan bahan terbabit di Lebuhraya Elite berdekatan Bandar Serenia, Nilai.
Beliau berkata, insiden berkenaan turut menjejaskan operasi LRA terbabit sekali gus menjejaskan kepentingan penduduk termasuk di Selangor.
“Dalam hal ini, saya juga berharap agar masyarakat untuk sentiasa menjaga kebersihan sungai kerana ia penting dan menjadi sumber air minuman kita,” katanya.