KUALA LUMPUR: Kerajaan tetap tegas dalam soal perolehan projek tebatan banjir dan mahu ia dilaksanakan dilaksanakan secara tender bagi mengelakkan pembaziran wang rakyat.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) memperuntukkan dana besar bagi membiayai projek tebatan banjir, iaitu mencecah RM22 bilion.
Projek berimpak tinggi jangka panjang itu, katanya, amat mustahak bagi menjamin kemaslahatan rakyat dan membendung lebih banyak kehilangan nyawa dan kerugian harta benda.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan, pendirian kerajaan bahawa ia hendaklah dilaksanakan secara tender bagi mengelakkan pembaziran wang rakyat.
“Tahun hadapan, sejumlah 33 projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi akan mula dilaksanakan dengan kos RM11.8 bilion,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024, hari ini.
Antaranya, Rancangan Tebatan Banjir (RBT) di Lembangan Sungai Pahang, Pahang; Sungai Langat Fasa 2, Selangor; Sungai Jelai, Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Sungai Likas, Kota Kinabalu, Sabah.
Surat setuju terima bagi 24 projek dijangka dikeluarkan tahun ini, mulai Oktober melibatkan kos keseluruhan RM5.1 bilion, manakala bakinya akan dikeluarkan pada suku pertama 2024.
Bagi mengurangkan risiko air bertakung dan banjir kilat, RM20 juta disediakan kepada 150 pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan parit dan longkang yang rosak.