SEREMBAN: Peruntukan yang disediakan menerusi beberapa projek seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024 semalam dilihat melengkapi keperluan pembangunan Negeri Sembilan ketika ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, antara pembangunan projek yang diterima secara langsung menerusi belanjawan itu termasuklah pembinaan baharu Klinik Kesihatan Rantau, pembinaan jalan desa Kuala Lukut-Chuah, rancangan tebatan banjir Sungai Jelai, Kuala Pilah serta pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Jempol.
“Ini yang kita terima secara terus, saya ucapkan terima kasih, di samping itu ada lagi yang diumumkan oleh kementerian masing-masing, saya amat menghargainya. Saya rasakan belanjawan ini memberikan aspirasi kepada rakyat secara keseluruhan, untuk pembangunan negeri dan pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Sukan Negara 2023 Peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sembilan di Paroi di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri membentangkan Belanjawan 2024 membabitkan peruntukan sebanyak RM398.8 bilion dengan RM303.8 bilion untuk perbelanjaan mengurus manakala RM90 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.
Dalam pada itu, Aminuddin menyifatkan Belanjawan 2024 sebagai belanjawan yang amat baik walaupun negara berdepan dengan jumlah hutang yang besar.
“Kita lihat ia memberikan manfaat kepada rakyat secara keseluruhan dengan jumlah bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) telah dinaikkan dan penjawat awam juga diberikan RM2,000 manakala pesara sebanyak RM1,000. Saya juga bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri untuk merasionalisasi subsidi supaya ia benar-benar mencapai matlamat seperti negara-negara maju lakukan,” katanya lagi.
Sementara itu, Menteri Besar berkata, aktiviti sukan merupakan satu-satunya wadah yang dapat menggabungkan seluruh rakyat negara ini tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang dalam melestarikan perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Saya amat mengharapkan sambutan Hari Sukan Negara ini adalah peluang kita semua bersatu, merayakan semangat persaudaraan melalui aktiviti fizikal yang menyeronokkan dan ia bukan sahaja terhenti di sini tetapi di semua tempat, agensi kerajaan mahupun swasta serta juga di institut pengajian tinggi dan juga sekolah-sekolah,” katanya.
Pada majlis itu juga, Aminuddin turut menyampaikan 11 Anugerah Sukan Negeri Sembilan kepada atlet-atlet di negeri ini selain memberikan pengiktirafan kepada atlet dan pegawai sukan dari negeri ini yang telah terpilih mewakili negara ke temasya Sukan Asia 2023 di Hangzhou, China baru-baru ini.
Anugerah Olahragawan telah dinobatkan kepada jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin manakala pemain badminton negara, S. Kisona sebagai penerima anugerah olahragawati.
Anugerah pasukan terbaik pula dinobatkan kepada pasukan ragbi Sukan Malaysia (Sukma) Negeri Sembilan manakala pasukan menembak sport rifle wanita dipilih sebagai penerima anugerah pasukan terbaik.