SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang baru dilantik semalam memulakan tugas secara rasmi, hari ini.
Terdahulu, beliau meletakkan ibu jari pada mesin perakam waktu pada jam 9.50 pagi sebagai simbolik melaporkan diri di pejabatnya di Wisma Negeri, di sini.
Beliau juga sempat meluangkan masa beramah mesra dengan kakitangan Pejabat Menteri Besar sebelum memulakan tugas.
Menerusi hantaran di Facebook, Aminuddin yang juga penyandang jawatan itu turut berkongsi momen memulakan tugasan rasminya itu.
“Bermulanya pada pagi ini tugasan saya secara rasmi sebagai YAB Menteri Besar Negeri Sembilan. Saya dengan rasa rendah diri ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakyat Negeri Sembilan di atas kepercayaan yang diberikan,” katanya.
Semalam, Calon PH-PKR yang menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sikamat itu mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.
Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berjaya mempertahankan kerusi DUN Sikamat selepas menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu dengan majoriti sebanyak 2,662 undi.
Beliau menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Ahmad Raihan Muhamad Hilal dan dua calon Bebas iaitu Bujang Abu dan Mohammed Hafiz Baharudin.
Aminuddin dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan buat penggal kedua selepas PH dan Barisan Nasional (BN) memenangi sebanyak 31 kerusi daripada keseluruhan 36 kerusi DUN sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.